Kisah Hazami Turun Berat badan 78KG Ke 50Kg Sehinggan Mendapat Pendarahan Usus



Penyanyi Hazami mendedahkan sikap obses mahu menurunkan berat badan menjadi punca terjadinya pendarahan usus besar terhadap dia.

Hazami atau nama sebenarnya Norkamal Hazami Ahmad, 40, berkata, sikap obsesnya itu bermula kira-kira 10 tahun yang lalu apabila dia merasakan imejnya kurang menarik ketika muncul dalam program televisyen.

“Saya mempunyai berat badan sebanyak 78 kilogram ketika awal pembabitan dalam dunia hiburan.

“Tetapi demi mahu melihat imej yang segak di televisyen, saya mengamalkan diet yang tidak sihat di mana saya hanya makan sekali sehari sahaja.

Target saya tercapai. Saya berjaya menurunkan berat badan sehingga 50 kilogram pada tahun 2009. Dan saya mengamalkan diet tersebut sehinggalah sebelum dimasukkan ke hospital,” katanya. yang ditemui di kediaman ibunya di Gombak, petang Jumaat.

Terdahulu Hazami telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Tropicana di sini pada 6 Ogos lalu akibat mengalami pendarahan usus.

Hazami (kiri) menerima lawatan Freddie (tengah) dan rakan artis Rozita Rohaizad.


Dalam pada itu, Hazami turut mendedahkan meminum terlalu banyak kopi pekat juga adalah sebahagian punca dia mengalami penyakit tersebut. Sejak pulang dari hospital beberapa hari lalu, dia mula belajar mengambil pemakanan yang lebih sihat.

“Ini satu pengajaran besar buat diri sendiri. Cuma susah juga nak biasakan diri makan banyak kali dalam sehari.

“Alhamdulillah, keluarga banyak menyokong dan membantu saya untuk makan secara teratur. Saya perlu berehat selama empat bulan sebelum kembali aktif dalam dunia seni,” ujarnya.

Sementara itu, Hazami berkata, sejak terlantar di hospital, dia mula sedar bahawa rakan-rakan dan keluarga sentiasa di sisi, tidak seperti yang digambarkannya iaitu melawan penyakit seorang diri.

“Saya selalu menganggap tiada siapa yang akan berada di samping kita kecuali keluarga terdekat ketika kita dalam kesusahan.

“Tetapi saya silap. Rakan-rakan, keluarga dekat dan jauh termasuklah pelajar-pelajar saya bersilih ganti datang melawat dan memberi semangat kepada saya.

“Melalui pengalaman ini juga membuatkan saya mahu menjadi seorang manusia yang lebih positif selain mendekatkan diri kepada Allah,” tuturnya.

Terdahulu Hazami menerima kunjungan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez yang turut memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepadanya.

Penyanyi Rozita Rohaizat turut hadir melawatnya.

Hazami adalah pemegang Ijazah Kejuruteraan Reka Cipta dari Universiti Brunel, London dan popular dengan lagu Sonata Musim Salju.

Be the first to comment on "Kisah Hazami Turun Berat badan 78KG Ke 50Kg Sehinggan Mendapat Pendarahan Usus"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*